SELAMA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang hilang ketika keluar ke kebun durian pada Isnin lalu, kini diteruskan pada hari keempat.

Mangsa, Kamarudin Hasan, 67, dikatakan hilang ketika keluar dari rumah untuk menjaga kebun durian berdekatan rumahnya di Kampung Sungai Malau Luar, Kubu Gajah di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, operasi SAR hari ini bermula pada jam 9 pagi dengan pencarian diperluas kepada radius 4 kilometer (KM), merangkumi sektor 6 dan 7.

"Pasukan SAR dipecahkan kepada dua pasukan, radius pencarian adalah sekitar 4KM dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

"Operasi ini turut dibantu pihak K9 JBPM, kekuatan pasukan pula membabitkan bomba (15), polis (7), penduduk kampung (7) dan Felcra (3)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi operasi hari ini diketuai oleh Ketua Balai BBP Selama, PPgB Mohd Nor Khairi Johari.


Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun dilaporkan hilang sejak jam 7 pagi di Kampung Sungai Malau Luar, Kubu Gajah di sini pada Isnin.

BACA: Operasi SAR cari lelaki warga emas hilang

Jurucakap JBPM Perak berkata, pasukan SAR telah dikejarkan ke lokasi dilaporkan hilang sebaik menerima aduan jam 8.28 malam.